Jumaat, 23 Februari 2024 | 9:21am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tak puas hati urus niaga kucing punca kes samun di Bandar Utama

KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dalam urus niaga menjual kucing dipercayai menjadi punca kejadian samun di Bandar Utama Damansara, Petaling Jaya, yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Solehuddin Zolkifly, berkata semakan mendapati laporan dibuat mangsa lelaki berusia 26 tahun pada Ahad lalu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki dan rampasan pelbagai barang seperti satu telefon bimbit jenis Iphone 14 Pro Max, dua anak kuncing jenis British Short Hair dan Munchkin, dua beg kucing, kunci dan sebuah kereta Honda Civic dipercayai digunakan dalam kegiatan samun itu.

"Dua tahanan berusia 27 dan 29 tahun masing-masing ada satu serta empat rekod jenayah. Mereka direman selama lima hari bermula Isnin lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 20 Februari lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin Solehuddin berkata, kedua-dua lelaki itu dituduh mengikut seksyen sama di Mahkamah Petaling Jaya, kelmarin.

"Kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah dan minta kes dibicarakan.

"Polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau orang mencurigakan untuk menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.

Berita Harian X