Rabu, 21 Februari 2024 | 7:34pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

3 beranak mati tergantung di kipas: Mangsa wanita peramah, ceria - Jiran

NILAI: Jiran kepada wanita yang ditemui maut bersama dua anaknya dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng, di sini, malam kelmarin, menyifatkan wanita itu sebagai seorang peramah dan ceria.

Wakil persatuan penduduk taman perumahan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan saling mengenali kerana persatuan sering mengadakan program bersama.

Justeru, katanya, kejadian itu sangat mengejutkan penduduk, lebih-lebih lagi ia membabitkan dua kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun.

"Bagi jiran selorong dengan wanita itu, mereka agak rapat dan sering bertegur sapa. Malah, dia sangat peramah dan dilihat tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

"Kadang-kadang, kami terserempak dengannya ketika dia beriadah di luar rumah sambil menemani anak bermain basikal. Namun, suaminya jarang kelihatan, mungkin keluar bekerja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ada penduduk yang tidak dapat melelapkan mata kerana teringatkan kejadian dianggap tragis itu dengan pelbagai perasaan bercampur baur.

"Penduduk masih tertanya-tanya mengenai kejadian itu. Apapun, biarlah polis menjalankan siasatan," katanya.

Media semalam melaporkan seorang wanita bersama dua anaknya ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, dilaporkan berkata Balai Polis Lenggeng menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu pada jam 9.25 malam kelmarin.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, bedah siasat terhadap mayat wanita berkenaan mendapati punca kematian ialah tekanan pada leher akibat gantung.

"Bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, semalam. Bagi dua kanak-kanak itu, punca kematian juga akibat tekanan pada leher.

"Hasil siasatan setakat ini mendapati suami mangsa dipercayai tidak terbabit secara langsung dengan kejadian itu. Bagaimanapun, siasatan masih dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh," katanya.

Berita Harian X