Isnin, 19 Februari 2024 | 9:23pm
Gadis maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Parit Buaya, Jalan Gunung Keriang manakala adik lelakinya cedera parah di kepala dihantar ke HSB untuk rawatan. - Foto Ihsan pembaca
Gadis maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Parit Buaya, Jalan Gunung Keriang manakala adik lelakinya cedera parah di kepala dihantar ke HSB untuk rawatan. - Foto Ihsan pembaca

Kakak maut, adik cedera parah motosikal dilanggar lori

ALOR SETAR: Seorang gadis maut manakala adik lelakinya parah di kepala selepas motosikal yang ditunggang mereka dilanggar sebuah lori di simpang Kampung Parit Buaya, Jalan Gunung Keriang, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM Sport itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya yang berusia lima tahun dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata kedua-dua beradik itu beralamat di Kampung Semarang, Mukim Gunung, Alor Janggus, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dimaklumkan terdapat satu kemalangan jalan raya berlaku di lokasi kejadian membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori.

"Hasil siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang dua beradik itu datang dari arah lampu isyarat Alor Janggus menuju ke arah lampu isyarat Gunung Keriang manakala lori berkenaan dari simpang jalan mini tar sebelah kanan ke kiri jalan.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal terbabit sedang bergerak lurus sebelum lori itu melintas dari simpang di hadapan laluan motosikal berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kiri belakang lori berkenaan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, adik lelaki mangsa yang mengalami pendarahan di kepala sedang dirawat di HSB.

"Setakat ini pemandu lori berusia 59 tahun itu sudah menyerah diri di balai polis dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X