Isnin, 19 Februari 2024 | 6:54pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Penganggur didakwa kemuka representasi palsu pembelian saham

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan representasi palsu berhubung pembelian skim pelaburan saham, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Chuah Hock Heng, 44, didakwa membabitkan diri dalam perbuatan yang beroperasi sebagai penipuan terhadap Ng Chin Wei, 44, dengan membuat representasi palsu kepada lelaki itu berhubung skim pelaburan saham.

Dia didakwa memberi jaminan pulangan 10 peratus dalam masa setahun bagi saham Industronics Berhad, MNC Wireless Berhad, Visdynamics Holdings Berhad dan Solution Engineering Holdings Berhad.

Hock Heng didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di SS2, Petaling Jaya antara 28 Mac hingga 30 April 2014 mengikut Subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 182 akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Mohd Aerie Rahman menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport Hock Heng diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai dan dikehendaki melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.

Peguam Khairul Amin Abdullah pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah diisytiharkan muflis dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan Hock Heng dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah berasingan, Hock Heng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara antara Februari hingga April 2014 mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) serta boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Keith Loo menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan sama seperti dimohon pendakwaan dalam kes Hock Heng di hadapan Sabariah, manakala Khairul Amin mengguna pakai hujah sama berhubung jumlah ikat jamin.

Hakim Azrul Darus membenarkan Hock Heng dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan sama dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X