Isnin, 19 Februari 2024 | 6:02pm
Yusri didakwa atas 10 pertuduhan jenayah seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Yusri didakwa atas 10 pertuduhan jenayah seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Peniaga warung didakwa lakukan amang seksual, miliki bahan pornografi

MELAKA: Peniaga warung didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 10 pertuduhan jenayah seksual termasuk melakukan persetubuhan luar tabii, memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki.

Tertuduh, Yusri Nadin, 57, yang mengalami masalah pendengaran bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun lapan bulan (ketika kejadian), di ladang kelapa sawit, Jalan Padang Lebar 3, Simpang Bekoh, Jasin pada 7 Disember lalu, kira-kira 9 malam.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut berdepan sembilan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) iaitu enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama serta dua kanak-kanak lain berusia 13 tahun mengikut Seksyen 14(a) dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14 (b) iaitu membuatkan dua daripada kanak-kanak itu melakukan amang seksual fizikal sesama mereka.

Jika disabitkan kesalahan Seksyen 14 (a) dan 14(b) AKTSK 2017 tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Dia turut didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dalam tiga telefon bimbit miliknya, iaitu kesalahan Seksyen 10 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ladang kelapa sawit, ladang getah dan dalam pasar raya sekitar Simpang Bekoh, Jasin antara pertengahan Ogos 2023 sehingga 6 Februari 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi kesemua 10 pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Ishak Mohd Kari bagaimanapun, merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan selain menghidap kencing manis dan darah tinggi serta menanggung empat ahli keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM52,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport untuk disimpan selamat oleh mahkamah.

Kes akan disebut semula 28 Mac ini untuk serahan dokumen.

Berita Harian X