Isnin, 19 Februari 2024 | 3:03pm

Buruh individu pertama disebat kerana khalwat di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Buruh binaan menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu yang dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.

Selain itu, tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut dikenakan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan manakala hukuman sebatan akan dilaksanakan dipenjara selepas tamat tempoh rayuan.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan kedua tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Buruh binaan, Mohd Affendi Awang, 42, (tengah) menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu yang empat sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Buruh binaan, Mohd Affendi Awang, 42, (tengah) menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu yang empat sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X