Jumaat, 16 Februari 2024 | 5:30pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

1MDB: Pegawai penyiasat nafi tuduhan ke atas Najib cacat

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tuduhan yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah cacat.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan sedemikian kerana menurutnya sebahagian besar dokumen melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Singapura hanya diperoleh selepas anak guamnya didakwa pada 2018.

Menurut peguam itu, kebiasaannya seseorang itu hanya didakwa apabila pegawai penyiasat melihat kepada semua dokumen dan berpuas hati bahawa mereka mempunyai kes.

Bagaimanapun, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, 37, menjelaskan, pihaknya membuat permintaaan daripada kerajaan Singapura untuk mendapatkan dokumen terbabit sebelum Najib didakwa.

Pegawai Penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin (tengah) hadir sebagai saksi pendakwaan ke-49 dalam kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Pegawai Penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin (tengah) hadir sebagai saksi pendakwaan ke-49 dalam kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

Katanya, sebahagian besar dokumen melalui MLA juga diperoleh sebelum pendakwaan dikemukakan terhadap bekas perdana menteri itu.

Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu, diberitahu dokumen diperoleh pegawai penyiasat adalah mencukupi untuk menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Najib.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min, berkata beliau memulakan siasatan skandal 1MDB pada Julai 2018 berdasarkan dokumen daripada pihak berkuasa dalaman kerajaan.

Saksi ke-48 pendakwaan itu berkata, beliau hanya memperoleh dokumen daripada pihak berkuasa asing melalui MLA kemudian, bagaimanapun tiada perbezaan dengan dokumen yang sudah ada dalam simpanannya.

Sementara itu, Nur Aida berkata, Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara yang akan mengendalikan set dokumen MLA yang berbeza dari negara yang berbeza.

Saksi ke-49 pendakwaan itu menjelaskan, beliau tidak turut serta ketika Timbalan Pendakwa Raya terbabit menerima dokumen berkenaan dari luar negara.

Katanya, sebaik saja set dokumen itu diterima ia dibahagikan mengikut bidang siasatan berkaitan dan diberikan kepada pegawai masing-masing.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan dokumen utama tidak menyenaraikan senarai dokumen tertentu dan ia dokumen yang 'longgar' serta tidak ada jaminan tidak diusik.

Katanya, tiada jaminan dokumen tidak dikeluarkan atau dimasukkan (ke dalam ikatan set dokumen utama).

Nur Aida bersetuju bahawa dokumen itu tidak 'diikat' dengan cara tertentu dan perkara sama berlaku bagi bukti diterima dari Switzerland dalam bentuk cakera padat (CD).

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bela untuk kandungan CD, sesiapa saja boleh membukanya asalkan mereka mempunyai kata laluan.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Berita Harian X