Jumaat, 16 Februari 2024 | 4:04pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) bercakap pada sidang media mingguan di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. - foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) bercakap pada sidang media mingguan di Menara KPJ Kuala Lumpur hari ini. - foto BERNAMA

Baru 6 minggu tahun 2024, kes penipuan komersial cecah RM558 juta

KUALA LUMPUR: Baru enam minggu dalam tahun 2024, jumlah kes penipuan komersial meningkat 34.3 peratus kepada 4,741 kes dengan jumlah kerugian melonjak 207.6 peratus atau RM558.6 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 3,530 kes direkodkan membabitkan kerugian RM181.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya ternyata kesal dengan perkembangan ini kerana masih ramai mudah terpedaya dengan helah pelbagai taktik oleh sindiket penipuan.

"Saya ingatkan kepada semua tuan-tuan dan puan-puan sebelum menagih Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat, kami terlebih dahulu merayu tuan, puan semua jangan mudah terpedaya.

"Tolong jangan terpedaya penipuan di media sosial, dah berbuih mulut kami nasihat, dan banyak didedahkan di media dan akhbar, tetapi masih ramai terpedaya," katanya dalam sidang media mingguan di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman hari ini.

Ramli berkata, tidak dapat dinafikan kemajuan teknologi banyak memberi manfaat namun kemudahan itu sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang cakna dengan isu semasa.

Katanya, orang awam diminta untuk tidak melayan sebarang tawaran pelaburan atau panggilan telefon yang menawarkan keuntungan yang tidak masuk akal.

"Jangan angkat panggilan melainkan panggilan daripada pihak bank yang anda percaya dan pernah berurusan ataupun daripada rujukan yang disahkan.

"Lebih baik jangan dilayan terus, jangan angkat telefon (tak dikenali) ...tak ada ruginya bila tidak angkat telefon, walaupun (kononnya) dari agensi kerajaan dan sebagainya.

"Jika mereka (agensi) berkenaan mahu berurusan dengan kita biar merkea hantar notis dan suarat, tidak perlu 'pegawai' mereka menghubungi kita," katanya.

Ramli berkata, orang ramai diingatkan lebih berhati-hati ketika menekan pautan dalam talian walaupun daripada orang yang dikenali bagi mengelak menjadi mangsa perisian intip atau spyware bagi memancing data atau phishing.

"Jangan klik apa-apa pautan walaupun jemputan perkahwinan sekalipun, walaupun daripada orang yang kita kenal kerana banyak kes phishing dan sebagainya.

"Biarlah mereka hubungi kita secara terus, 'back to basic' lagi bagus kerana walaupun teknologi semakin canggih tetapi kecanggihan itu boleh bawa kerugian," katanya.

Menurutnya, beliau mengakui peringatan itu mungkin dianggap keterlaluan namun mencegah lebih baik daripada mengubati.

Katanya, pendekatan untuk tidak berinteraksi langsung apabila menerima panggilan tidak dikenali atau pautan meragukan lebih baik daripada kerugian harta dan wang ringgit.

Berita Harian X