Jumaat, 16 Februari 2024 | 3:09pm
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau paras air di Kampung Segong, Bau. - Foto NSTP/Ihsan JPBN Sarawak
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau paras air di Kampung Segong, Bau. - Foto NSTP/Ihsan JPBN Sarawak

Banjir: Tiga PPS dibuka di Sarawak

KUCHING: Seramai 71 mangsa banjir daripada 22 keluarga di Kuching dan Bau ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 29 daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan R Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa di sini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata 20 daripada lapan keluarga di Taman Desa Wira, Lorong 5 ditempatkan di Dewan Masyarakat Stapok, Batu Kawa.

Katanya, enam mangsa daripada dua keluarga di Kampung Segong, Bau pula ditempatkan di dewan kampung berkenaan.

Jumlah yang ditempatkan di PPS dijangka meningkat berikutan pendaftaran masih dijalankan sehingga jam 2.30 petang tadi.

Selain itu, keadaan cuaca di bandar raya ini juga masih tidak menentu dengan hujan lebat dijangka berlaku lagi malam ini, manakala air laut pasang besar pula diramal berlaku pagi esok.

Hari ini, beberapa penempatan penduduk di bandar raya ini dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak jam 3 pagi tadi.

Ia membabitkan Kampung Sinar Budi Baru dan Taman Desa Wira di Batu Kawa; sekitar Tabuan, Matang, Samariang, Pending, Kota Sentosa; Jalan Bako serta daerah Bau.

Menurut penduduk di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, air mula memasuki kediaman mereka pada jam 6 pagi.

"Keadaan itu dipercayai berlaku akibat sistem perparitan yang tidak sempurna di kawasan kami yang tidak mampu menampung hujan yang agak lebat bermula jam 3 pagi," katanya yang namanya enggan disiarkan.

Berita Harian X