Jumaat, 16 Februari 2024 | 12:58pm

Mekanik dipaksa bayar tebusan selepas isteri diculik, angkara hutang dibuat rakan

KUALA LUMPUR: Urusan 'perniagaan' berkaitan dadah dipercayai menjadi motif seorang wanita yang menjadi tahanan selama 10 jam selepas diculik di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada suami mangsa berusia 30 tahun pada hari kejadian.

"Menurut saksi kejadian, empat individu termasuk seorang wanita dilihat membawa mangsa yang juga pekerja serbaneka masuk ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu.

"Berdasarkan maklumat diterima, kami melakukan serbuan kira-kira jam 3 pagi, Selasa lalu, di dua lokasi di Bukit Damansara dan Sentul yang membawa kepada penahanan empat lelaki serta seorang wanita berusia 25 hingga 31 tahun.

"Tindakan pantas diambil polis berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui tanpa sebarang kecederaan dalam tahanan suspek di Sentul," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, pengadu yang bekerja sebagai mekanik memaklumkan suspek memintanya membayar hutang rakannya dipercayai membabitkan urusan jual beli dadah sebanyak RM100,000.

"Sepanjang tempoh isterinya dilarikan, pengadu menyerahkan RM45,000 kepada suspek sebelum mereka ditahan pihak polis.

"Kami masih mengesan seorang lagi suspek masih bebas iaitu, Mohd Daniel Harris Azmi, 26, beralamat terakhir di Sungai Petani, Kedah yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati semua suspek ditahan termasuk seorang lelaki yang masih bebas itu mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Dalam kes ini, kami turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan oleh suspek melarikan mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung suspek yang masih bebas boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X