Jumaat, 16 Februari 2024 | 12:01pm

9 dalang sindiket panggilan telefon palsu membabitkan kerugian RM28.92 juta ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita yang disyaki terbabit kegiatan penipuan panggilan telefon menyamar sebagai pegawai insurans dalam serbuan di Selangor dan ibu kota, Selasa lalu.

Kesemua suspek warga tempatan lingkungan 28 hingga 42 tahun yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun keldai dan pemilik syarikat keldai yang digunakan dalam kegiatan penipuan didalangi sindiket ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata melalui penahanan ahli sindiket ini, pihaknya percaya sebanyak 61 kes membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM28.92 juta berjaya diselesaikan.

Menurutnya, salah satu mangsa sindiket penipuan ini adalah seorang pesara sektor perbankan wanita berusia 70 tahun yang dilaporkan berlaku pada 2022 membabitkan nilai kerugian RM3.83 juta.

"Pada sekitar November 2022, pengadu menerima panggilan yang mendakwa dari pihak insurans Prudential dan terdapat tuntutan insurans dibuat menggunakan nama pengadu.

"Pengadu menafikan kewujudan tuntutan insurans terbabit. Panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan pengubahan wang haram (AMLA).

"Pengadu kemudian diarahkan untuk membuka akaun bank baharu dan memindahkan kesemua wang pengadu ke akaun bank yang baru dibuka," katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Seterusnya, kata beliau mangsa diarahkan menyerahkan maklumat akaun bank dan perbankan dalam talian akaun terbabit kepada pihak sindiket.

"Pengadu juga tidak dibenarkan mengemaskini atau mengakses akaun banknya selama beberapa bulan atas alasan siasatan sedang dijalankan.

"Pada September 2023, pengadu membuat semakan akaunnya dan mendapati sejumlah RM3,839,000 sudah dipindahkan keluar dari akaun terbabit hingga hanya hanya berbaki RM78," katanya

Ramli berkata, menerusi tangkapan itu, polis turut merampas 11 telefon bimbit, sembilan kad pengeluaran wang (ATM), serta wang tunai berjumlah RM377.

"Siasatan awal mendapati pemilik akaun keldai yang ditahan ini menerima bayaran antara RM300 hingga RM400 untuk sindiket menggunakan akaun bank mereka.

"Kesemua suspek kini sedang ditahan reman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang akauntan kerugian RM5.04 juta selepas terpedaya sindiket pelaburan matawang kripto yang kononnya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Ramli berkata, mangsa mula melakukan pelaburan selepas berurusan dengan seorang lelaki pada Ogos 2023.

Katanya, suspek menawarkan mangsa yang juga seorang lelaki berusia 55 tahun untuk membuat satu pelaburan di AS yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Mangsa diyakinkan untuk membuat pelaburan mata wang kripto dan bermula Ogos 2023 hingga Januari 2024, mangsa telah membuat pindahan sebanyak 143 kali ke beberapa 'dompet mata wang kripto' dengan jumlah keseluruhan RM 5.04 juta.

"Mangsa berasa ditipu apabila tidak lagi dapat berhubung dengan individu yang menguruskan pelaburannya, sebelum tampil membuat satu laporan polis pada 7 Februari lalu," katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X