Jumaat, 16 Februari 2024 | 12:11am
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran rumah di Kampung Warisan, Inanam, Kota Kinabalu. NSTP/Juwan Riduan
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran rumah di Kampung Warisan, Inanam, Kota Kinabalu. NSTP/Juwan Riduan

Empat rumah di Kampung Warisan Inanam musnah terbakar

KOTA KINABALU: Empat rumah di Kampung Warisan, Jalan Tuaran Bypass, Inanam, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi, mengakibatkan lebih 20 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian bermula jam 6.15 petang itu dipercayai dari kebakaran sampah sebelum merebak sehingga memusnahkan empat rumah berdekatan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Seorang mangsa Karim Abd Rahman, 28, berkata ketika kejadian dia bersama adiknya dan sepupunya berada di dalam rumahnya.

"Ketika itu, saya sedang mencuci pakaian di bilik mandi dan terkejut apabila adik memaklumkan rumah terbakar.

"Tanpa sempat menyelamat apa-apa harta benda termasuk dokumen, saya bersama adik dan sepupu bergegas keluar memadam api, namun gagal kerana api semakin marak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Karim mendakwa, kejadian itu dipercayai dari pembakaran sampai di bahagian hadapan rumah jirannya.

"Jiran sebelah membakar sampah di bahagian hadapan rumahnya sebelum api merebak ke stor di hadapan rumah kami.

"Api marak hingga membakar rumah kami dan beberapa rumah jiran lain. Tiada apa yang tinggal, semuanya (harta benda) musnah terbakar," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 6.22 petang.

Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran bersama lima jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan empat rumah yang musnah sepenuhnya. Operasi pemadaman kebakaran terkawal pada jam 9.08 malam," katanya.

Berita Harian X