Rabu, 14 Februari 2024 | 3:44pm
Seorang penganggur terlepas hukuman penjara seumur hidup selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun kerana menculik tiga lelaki warga Bangladesh bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000, 10 tahun lalu. - Foto fail NSTP
Seorang penganggur terlepas hukuman penjara seumur hidup selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun kerana menculik tiga lelaki warga Bangladesh bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000, 10 tahun lalu. - Foto fail NSTP

Penganggur dipenjara 30 tahun, 10 sebatan culik tiga lelaki Bangladesh

PUTRAJAYA: Seorang penganggur terlepas hukuman penjara seumur hidup selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun kerana menculik tiga lelaki warga Bangladesh bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dalam keputusan sebulat suara turut mengekalkan hukuman 10 sebatan yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Suhaimi Alias, 47.

Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, memerintahkan perayu (Suhaimi) menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap pada 16 Mac 2014.

Bagaimanapun, Hakim Abang Iskandar menolak rayuan akhir perayu bagi mengetepikan sabitan selepas mendapati rayuan itu tidak mempunyai merit.

"Oleh itu, sabitan terhadap perayu dikekalkan," kata hakim itu.

Pada Julai 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan terhadap Suhaimi yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Suhaimi didakwa bersama-sama dua individu lain menculik Md Gholam Faruque, Mohamed Rafik dan Sojib bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000 di sebuah pasar raya mini di Jalan Meru Klang, Selangor pada 4 pagi, 16 Mac 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika tidak dihukum mati dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam Juwayriyyah Hassan, yang mewakili Suhaimi memohon supaya rayuan anak guamnya dibenarkan oleh mahkamah atas alasan elemen penculikan tidak dapat dibuktikan oleh pendakwaan seperti dikehendaki oleh Seksyen 3 Akta Penculikan 1961.

"Tiada permintaan untuk wang tebusan oleh anak guam dalam kes ini," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah elemen penculikan berjaya dibuktikan oleh pendakwaan selepas saksi utama pendakwaan yang juga seorang daripada mangsa dalam kes ini telah mengecam perayu (Suhaimi) sebagai individu yang menculik dan melarikan mangsa dari pasar raya dan mengurungnya di dalam bilik hotel.

"Bilik hotel berkenaan adalah tempat di mana tiga mangsa culik ditemukan dan diselamatkan oleh pihak polis. Hujahan peguam perayu berhubung tiada permintaan bagi mendapatkan wang tebusan tidak berbangkit pada peringkat perbicaraan.

"Permintaan untuk mendapatkan wang tebusan dibuktikan oleh keterangan seorang mangsa yang mendengar perbualan telefon meminta wang tebusan RM50,000. Namun, wang tebusan hanya dibayar RM8,000 oleh anak mangsa," kata Afzainizam. – BERNAMA

Berita Harian X