Rabu, 14 Februari 2024 | 12:13am

Pesawat terhempas: Bomba gali secara manual keluar mayat mangsa

KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menggunakan kaedah menggali secara manual bagi mengeluarkan mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, tengah hari tadi.

Mengesahkan perkembangan itu, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata kerja-kerja mencari mangsa sebelumnya dibantu pasukan bomba sukarela, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) , RELA, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan penduduk sekitar.

"Usaha pencarian dilakukan dengan menggunakan kaedah 'sweeping' dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama yang dipercayai terjunam 45 peratus ketika penerbangan.

"Bomba juga menggunakan kaedah pengalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat yang ditemui di sekitar bangkai pesawat.

"Pada jam 7.06 malam, mangsa pertama yang berada di dalam kokpit pesawat pada kedalaman lima kaki di dalam tanah berjaya dibawa keluar manakala mangsa kedua pula jam 7.17 malam," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Wan Md Razali berkata kekuatan keanggotaan JBPM adalah seramai 15 pegawai kanan dan 23 pegawai bomba lain-lain pangkat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang terkorban dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda itu.

Beliau berkata, mangsa dikenalpasti sebagai warga tempatan iaitu juruterang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42.

Ketika kejadian, pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang pada jam 1.28 tengah hari sedang dalam penerbangan rekreasi.

Kronologi pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang.
Kronologi pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang.

Berita Harian X