Selasa, 13 Februari 2024 | 2:47pm
Mohd Shokri (kiri) menunjukkan ganja seberat lima kilogram yang dirampas daripada seorang lelaki di hadapan pusat beli-belah bebas cukai berhampiran ICQ Padang Besar. NSTP/AIZAT SHARIF
Mohd Shokri (kiri) menunjukkan ganja seberat lima kilogram yang dirampas daripada seorang lelaki di hadapan pusat beli-belah bebas cukai berhampiran ICQ Padang Besar. NSTP/AIZAT SHARIF

Polis tahan 2 lelaki, rampas 5 kilogram ganja

PADANG BESAR: Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki menggalas sebuah beg sambil duduk di atas motosikal berdepan pintu masuk sebuah pusat beli-belah bebas cukai berhampiran Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar mendorong polis menahannya dan merampas lima bungkusan ketulan mampat dadah jenis ganja seberat lima kilogram bernilai RM15,500 pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari apabila polis menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan ganja dipercayai sedang dilakukan di kawasan itu.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dikerah ke lokasi kejadian dan melihat suspek duduk atas motosikal jenis Honda RSX150 berwarna hijau sambil menggalas sebuah beg berwarna biru di pintu masuk bangunan pusat beli-belah bebas cukai itu.

"Anggota polis kemudian menahan lelaki itu dan membuat pemeriksaan dalam beg disandangnya serta menemui lima bungkusan ketulan mampat dibalut kertas aluminium berwarna merah dipercayai dadah jenis ganja yang setiap satunya dianggarkan seberat satu kilogram," katanya kepada media di IPD Padang Besar, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun itu dan seorang lagi rakan subahat dipercayai dalang yang mengatur urusan membawa masuk bekalan ganja dari negara jiran itu.

"Susulan itu, tidak sampai 24 jam, kita berjaya memberkas seorang lagi lelaki di lokasi sama dipercayai lelaki berusia 36 tahun yang juga suspek utama dalam kes berkenaan.

"Siasatan kita mendapati sindiket ini sudah aktif hampir setahun lalu dan memperoleh ganja dari negara jiran dengan diseludup masuk menggunakan 'laluan tikus' di sekitar pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

"Bekalan ganja itu dipercayai akan diserahkan kepada suspek utama itu untuk dipasarkan ke negeri berjiran dengan Perlis.

"Lelaki pertama yang ditahan itu disyaki bertindak selaku 'runner' yang membawa bekalan ganja itu kepada suspek utama dan dia dibayar RM2,000 bagi setiap tugasan oleh sindiket penyeludupan dadah negara ini," katanya.

Mohd Shokri berkata, ganja dirampas itu mampu digunakan 5,000 penagih di negara ini dan setiap satu ketulan mampat ganja itu dianggarkan bernilai RM3,100.

"Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan semakan kita mendapati suspek pertama ditahan itu mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes dadah, manakala suspek utama pula mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah lain.

"Suspek utama itu juga turut dikehendaki polis di Langkawi atas tiga kesalahan dadah selain masih berada dalam parol," katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X