Selasa, 13 Februari 2024 | 11:24am
Kebakaran di Jalan Ledang, Taman Johor, membabitkan dua rumah teres setingkat, sebuah tadika dan empat motosikal. - Foto BOMBA
Kebakaran di Jalan Ledang, Taman Johor, membabitkan dua rumah teres setingkat, sebuah tadika dan empat motosikal. - Foto BOMBA

Remaja tidur, rumah terbakar

JOHOR BAHRU: Seorang remaja 17 tahun sedang tidur melecur pada kepala dalam kebakaran di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini, malam tadi.

Kebakaran dilaporkan kepada bomba pada jam 8.25 malam itu membabitkan dua rumah teres setingkat, sebuah tadika dan empat motosikal.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), remaja lelaki berkenaan sedang tidur di rumah ketika kejadian.

"Mangsa sedang tidur ketika kebakaran dan sempat diselamatkan orang awam, namun mengalami lecur tahap dua pada bahagian kepala.

"Apabila pasukan bomba tiba, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota unit EMRS (Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran di Jalan Ledang, Taman Johor, malam tadi. - Foto BOMBA
Anggota bomba memadam kebakaran di Jalan Ledang, Taman Johor, malam tadi. - Foto BOMBA

Seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dan Kempas dikejarkan ke lokasi dengan tiga jentera FRT dan dua unit EMRS, selain tiga unit motosikal bomba (RIM), dengan operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Abdul Jamal.

Seramai 28 anggota dari BBP Larkin dan Kempas terbabit operasi memadam kebakaran di Taman Johor, malam tadi. - Foto BOMBA
Seramai 28 anggota dari BBP Larkin dan Kempas terbabit operasi memadam kebakaran di Taman Johor, malam tadi. - Foto BOMBA

"Kebakaran itu mengakibatkan sebuah rumah musnah 90 peratus, sebuah lagi hanya mengalami kemusnahan lima peratus dan tadika musnah kira-kira 30 peratus. Empat motosikal yang terbakar musnah antara lima hingga 80 peratus.

"Operasi pemadaman kebakaran berjalan lancar dan tamat pada 10.46 malam tadi," katanya.

Berita Harian X