Selasa, 13 Februari 2024 | 11:13am

Masalah pendawaian elektrik punca kebakaran di Flat Sri Sabah

KUALA LUMPUR: Masalah pendawaian elektrik dipercayai menjadi punca enam unit kediaman di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah di Cheras terbakar Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul, berkata siasatan forensik mengesahkan kebakaran disebabkan masalah elektrikal dan ia tertumpu pada 'distribution board'.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian pintu depan dan belakang unit rumah berkenaan didapati tertutup.

"Kira-kira 90 sehingga 95 peratus kita dapati itulah punca kebakaran dan selebihnya untuk pengesahan dari segi ujian teknikal.

"Makluman orang awam yang mengatakan punca kebakaran disebabkan akibat bunga api juga adalah tidak benar," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras di sini, hari ini.

Terdahulu, turut melawat mangsa kebakaran di sekolah itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Sementara itu, Muhammad Salleh turut menafikan yang pili bomba di kawasan berkenaan tidak berfungsi ketika kejadian.

Katanya, hasil pertemuan dengan pengadu, pihaknya mendapati alat yang bermasalah adalah alat bantu mula (hose reel).

"Ia bukan (masalah) pili bomba tetapi alat bantu mula kerana ketika kebakaran pengadu cuba membantu memadam kebakaran tetapi 'hand reel' pada alat bantu mula itu tidak boleh digunakan," katanya.

Dalam kebakaran kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, bomba mengesahkan lima unit kediaman musnah dalam kebakaran manakala satu lagi unit kediaman berjaya diselamatkan.

Ketika ini hanya lima mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Seri Cheras manakala 11 orang lagi menumpang di rumah saudara.

Masalah pendawaian elektrik dipercayai menjadi punca enam unit kediaman di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah di Cheras terbakar Ahad lalu.
Masalah pendawaian elektrik dipercayai menjadi punca enam unit kediaman di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah di Cheras terbakar Ahad lalu.
Berita Harian X