Isnin, 12 Februari 2024 | 10:11pm
Dua rumah di Kampung Baru Nilai, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6.15 petang tadi. - FOTO IHSAN BOMBA
Dua rumah di Kampung Baru Nilai, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6.15 petang tadi. - FOTO IHSAN BOMBA

Kediaman terbakar, sambutan Tahun Baharu Cina hilang makna

NILAI: Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Nilai dekat sini, tidak lagi bermakna bagi dua keluarga selepas rumah musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu turut memusnahkan sebuah tokong, dua kereta dan sebuah jentolak, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan.

Komander Operasi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.20 petang sebelum bergegas ke lokasi.

"Petugas dari BBP Nilai dan dibantu anggota BBP Mantin menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan dua rumah separuh kekal dan sebuah tokong.

"Rumah pertama yang berkeluasan 140 meter persegi terbakar kira-kira 80 peratus manakala rumah kedua terbakar di bahagian dapur dengan kemusnahan dianggar 50 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sebuah tokong terbuka berkeluasan 140 meter persegi turut terbakar kira-kira 80 peratus.

Bakarya berkata, sebuah jentolak berhampiran rumah berkenaan musnah kira-kira 80 peratus manakala dua kereta jenis Proton Saga terbakar sepenuhnya

"Tiada kehilangan nyawa dilaporkan manakala anggaran kerugian dan punca kebakaran belum diketahui," katanya.

Berita Harian X