Isnin, 12 Februari 2024 | 3:03pm
Enam beradik yang diselamatkan bomba apabila sofa dalam kediaman mereka di, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, terbakar pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Selangor
Enam beradik yang diselamatkan bomba apabila sofa dalam kediaman mereka di, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, terbakar pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Selangor

Cemas sofa terbakar, enam beradik diselamatkan bomba

KUALA LUMPUR: Enam beradik berdepan detik cemas apabila sofa dalam kediaman mereka di Blok Q, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, terbakar pagi tadi.

Kesemua mangsa, kanak-kanak berusia antara dua hingga 11 tahun diselamatkan anggota pasukan bomba yang tiba di lokasi selepas menerima laporan kejadian pada jam 11.15 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata operasi menyelamat dijalankan sepasukan anggota dari Balai Bomba Sungai Buloh.

"Kebakaran membabitkan sebuah sofa di ruang tamu di unit apartmen terbabit dan tidak melibatkan struktur bangunan.

"Terdapat enam mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam rumah dan berjaya diselamatkan pihak bomba," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua kanak-kanak yang diselamatkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketika kejadian, kedua ibu mereka berada di hospital kerana bapa mereka mengalami masalah jantung.

Difahamkan, anggota bomba terpaksa memecahkan pintu jeriji untuk masuk ke dalam rumah kerana berada dalam keadaan berkunci.

Berita Harian X