Isnin, 12 Februari 2024 | 1:50pm
Dua ekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Jim dan Woody dibawa untuk menyiasat kesan kebakaran di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, hari ini. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Pasukan forensik bomba turut guna K9 siasat kebakaran Flat Sri Sabah

KUALA LUMPUR: Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini, hari ini, bagi menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran yang memusnahkan lima kediaman di situ.

BH yang berada di lokasi dimaklumkan sepasukan dua pegawai dan enam anggota penyiasat kebakaran bomba hadir di lokasi kira-kira jam 11 pagi bersama dua anjing pengesan (K9), Jim dan Woody.

Mereka turut membawa tiga unit dron ke lokasi yang dipercayai digunakan untuk membantu siasatan dan pemantauan di lokasi.

Mereka seterusnya ke lokasi kebakaran di tingkat 17 dengan sepasukan anggota polis membuat kawalan di tingkat terbabit.

Pihak Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, pagi tadi mengesahkan lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Satu lagi unit kediaman yang terletak di tingkat berkenaan berjaya diselamatkan manakala lima unit kediaman yang terjejas mengalami kerosakan antara 85 hingga 97 peratus.

Lima unit kediaman musnah dalam kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah di Cheras, malam tadi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Lima unit kediaman musnah dalam kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah di Cheras, malam tadi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran selepas kejadian kebakaran enam unit rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 9.19 malam.

Api berjaya dipadamkan pada jam 11.22 malam dan buat masa ini, pihak bomba masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian.

Sementara itu, penduduk di Blok 70 kini terjejas bekalan air kerana difahamkan kebakaran di tingkat paling atas itu menjejaskan tangki air di blok berkenaan sehingga menjejaskan bekalan air.

Ramai penduduk kini berulang alik mengambil air daripada dua tangki besar yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bahagian bawah blok berkenaan untuk kegunaan sementara penduduk.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran selepas kejadian kebakaran enam unit rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran selepas kejadian kebakaran enam unit rumah di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Berita Harian X