Isnin, 12 Februari 2024 | 12:23pm
Kebakaran yang memusnahkan lima unit rumah di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras malam tadi. NSTP/ Nurul Hidayah Bahaudin
Kebakaran yang memusnahkan lima unit rumah di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras malam tadi. NSTP/ Nurul Hidayah Bahaudin

Punca kebakaran 5 unit Flat Sri Sabah masih disiasat

KUALA LUMPUR: Polis masih berusaha mengenal pasti punca kebakaran yang memusnahkan lima unit kediaman di Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin, berkata siasatan lanjut masih dijalankan unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Setakat ini tiada apa-apa perkembangan terbaru. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian beberapa rumah di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, terbakar malam tadi.

Pasukan bomba dan penyelamat mengakui berdepan cabaran, khususnya apabila sistem pencegahan kebakaran tidak berfungsi dengan baik.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, bangunan pangsapuri itu sudah tersedia dengan sistem berkenaan, namun kegagalannya berfungsi menyebabkan pasukan terpaksa mengepam air dari bawah.

Sebelum itu, tindakan penduduk meletakkan kenderaan di bahu jalan dilaporkan menjadi antara punca menyukarkan pasukan bomba dan penyelamat memadam kebakaran di Blok 70 pangsapuri itu.

Susulan itu, pasukan penyelamat terpaksa meminta bantuan trak tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengeluarkan kenderaan yang menghalang, sekali gus membuka laluan untuk kemasukan jentera bomba.

Tindakan pantas anggota JBPM Kuala Lumpur berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah dan tingkat lain.

Difahamkan, kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Berita Harian X