Isnin, 12 Februari 2024 | 11:08am
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah ditempatkan sementara di SK Sri Cheras

KUALA LUMPUR: Semua penghuni yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini, malam tadi, ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abd Wahab, berkata seramai 16 penghuni daripada lima keluarga kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dilakukan pihak persatuan penduduk bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Guru Besar SK Sri Cheras.

"Pada mulanya kita ingin menempatkan mangsa di Blok 66, namun kawasan terbabit agak sempit.

"Akhirnya kita putuskan bagi menempatkan kesemua mangsa di SK Sri Cheras buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - NSTP/Aizuddin Saad
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Unit Forensik melakukan kerja pemeriksaan punca kebakaran di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - NSTP/Aizuddin Saad

Keadaan di rumah yang terbakar di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - NSTP/Aizuddin Saad
Keadaan di rumah yang terbakar di Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras. - NSTP/Aizuddin Saad

Tinjauan BH di lokasi hari ini mendapati anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas DBKL masih berada di flat berkenaan untuk pemantauan lanjut.

Anggota PDRM turut mengawal laluan masuk ke tingkat atas flat terbabit yang dilaporkan terbakar kira-kira jam 9.19 malam tadi.

Dalam pada itu, DBKL dilihat turut menghantar bekalan air dengan meletakkan tangki air besar berhampiran blok 70, pagi ini.

Difahamkan, sebahagian unit kediaman di blok terbabit mengalami gangguan bekalan air susulan kebakaran malam tadi.

@bharianmy Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah ditempatkan sementara di SK Sri Cheras #BeritaDiTikTok ♬ original sound - Berita Harian
Berita Harian X