Ahad, 11 Februari 2024 | 10:30pm
Mayat seorang daripada dua remaja yang lemas di sungai di Batu Lintang, Betong hari ini. - Foto ihsan JBPM
Mayat seorang daripada dua remaja yang lemas di sungai di Batu Lintang, Betong hari ini. - Foto ihsan JBPM

Terkini: Dua remaja lemas ketika beriadah di sungai

KUCHING: Kegembiraan sekumpulan remaja lelaki mengisi waktu cuti perayaan Tahun Baharu Cina dengan beriadah dan berenang di sungai di Batu Lintang, Jalan Ulu Layar di Betong bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berdasarkan maklumat awam, ketika sedang asyik berenang di sungai berdekatan rumah panjang itu, dua mangsa lemas akibat arus deras.

Katanya, seorang mangsa, Syakimie Suria Ariffin, 16, berjaya ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 4 petang, namun disahkan sudah meninggal dunia.

"Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.53 petang, sebelum melancarkan gerakan mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.

"Pada jam 6.44 petang, mangsa kedua iaitu Afiq Aiman Mohd Adress, 17, berjaya ditemukan oleh anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang mencari di dasar sungai," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X