Ahad, 11 Februari 2024 | 10:11pm
 Kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang dinaiki lima individu. - Foto ihsan bomba
Kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang dinaiki lima individu. - Foto ihsan bomba

Wanita maut, pacuan empat roda jatuh ke dalam gaung

HULU SELANGOR: Seorang wanita maut, manakala empat lagi cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung berhampiran Ladang Batang Kali, Jalan Batang Kali, di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 6.38 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang dinaiki lima individu.

"Seorang daripadanya tersepit iaitu wanita berusia 58 tahun dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

"Empat lagi mangsa dilaporkan cedera. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa segera dijalankan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, identiti semua individu belum dikenal pasti.

Berita Harian X