Khamis, 8 Februari 2024 | 1:52pm
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019

Petisyen peguam cabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan diputuskan esok

PUTRAJAYA: Petisyen dikemukakan seorang peguam dan anaknya bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, akan diputuskan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan esok.

Dalam petisyen yang mendapat perhatian ramai itu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen itu atas alasan Dewan Undangan Negeri bertindak melangkaui bidang kuasa.

Kes berkenaan akan diputuskan panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala kerajaan Kelantan yang dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Selain itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dan Badan Peguam Malaysia bertindak selaku pemerhati.

Sisters In Islam Forum (SIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pula bertindak selaku sahabat mahkamah (amicus curiae).

Dalam prosiding hujahan sebelum ini, Malik Imtiaz berhujah, 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama dan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, 18 peruntukan itu tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan adalah di bawah bidang kuasa Parlimen.

Bagaimanapun, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili PPMM berhujah, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang dicabar oleh Nik Elin dan anaknya, tertakluk di bawah 27 senarai undang-undang Persekutuan.

Jelasnya, kuasa Parlimen adalah menggubal undang-undang dalam senarai Persekutuan yang mengandungi 27 item, namun ia tidak boleh menggubal undang-undang di luar daripada 27 item yang disenaraikan.

Beliau berkata, kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang tidak boleh diandaikan meliputi semua undang-undang jenayah, tetapi hanya tertakluk kepada senarai Persekutuan.

Katanya, pempetisyen juga gagal membuktikan bahawa penggubalan 18 peruntukan itu tidak selari dengan undang-undang syariah dan kekeluargaan Islam yang mewajarkan ia dibatalkan oleh mahkamah.

Berita Harian X