Khamis, 8 Februari 2024 | 1:24pm

Pukul bayi 11 bulan, pengasuh direman tujuh hari

SEREMBAN: Pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan bayi berusia 11 bulan ketika di bawah jagaannya pada 5 Februari lalu.

Bayi perempuan itu dikatakan mengalami kecederaan pada mata dipercayai dipukul wanita warga emas berusia 66 tahun itu di pusat asuhan di sebuah taman perumahan dekat Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.

"Mahkamah membenarkan reman tujuh hari sehingga 14 Februari depan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

"Buat masa ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Malik berkata, pusat asuhan itu beroperasi lebih kurang 20 tahun dan penubuhannya mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Semakan juga mendapati pengasuh tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak terbabit penyalahgunaan dadah," katanya.

Media semalam melaporkan penahanan seorang pengasuh wanita itu susulan kes dera yang berlaku pada 5 Februari lalu.

Abdul Malik dilaporkan berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 20-an mengenai kejadian terbabit pada jam 6.12 petang Selasa lalu.

Wanita warga emas (kanan) direman tujuh hari susulan kes pukul bayi berusia 11 bulan di sebuah pusat jagaan. - NSTP/Azrul Edham
Wanita warga emas (kanan) direman tujuh hari susulan kes pukul bayi berusia 11 bulan di sebuah pusat jagaan. - NSTP/Azrul Edham
Berita Harian X