Rabu, 7 Februari 2024 | 6:38pm
Polis berjaya memberkas tujuh lagi lelaki warga Rohingya hari ini yang dikenal pasti antara 131 PATI yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Polis berjaya memberkas tujuh lagi lelaki warga Rohingya hari ini yang dikenal pasti antara 131 PATI yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Polis berkas 7 lagi warga Rohingnya, 33 masih diburu

TAPAH: Tujuh lagi lelaki warga Rohingya dikenal pasti sebagai tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, berjaya diberkas di kebun sawit Felcra Jalan Kachu, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim, Asnawi berkata semua pelarian itu ditahan jam 3 petang selepas pasukan polis berjaya mengesan lokasi persembunyian mereka.

"Sebaik lokasi tujuh tahanan ini dikesan, pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Am Briged Utara terus menggerakkan pencarian dalam radius lima kilometer (km).

"Dengan tertangkap tujuh lelaki ini, menjadikan jumlah tangkapan terkini adalah 98 orang, dan berbaki lagi seramai 33 orang untuk diburu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Naim berkata, pihak polis percaya baki 33 tahanan itu masih berada dalam daerah Tapah dan usaha mengesan giat dijalankan.

"Seperti mana yang Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri katakan sebelum ini, mereka (tahanan bolos) ini tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan atau pakaian. Jadi mereka tidak akan pergi jauh.

"Sebaliknya dia akan menjadikan kawasan yang berdekatan seperti R&R ini sebagai tempat mereka mencari makan," katanya.

"Ditanya kesukaran dihadapi dalam operasi pencarian yang memasuki hari ketujuh itu, beliau menjelaskan, cabaran terbesar adalah faktor geografi kawasan pencarian yang terdiri daripada bukit-bukau dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda, di tambah cuaca sering hujan.

Bagaimanapun, beliau memuji kerjasama orang ramai yang tidak jemu menyalurkan maklumat sejak pencarian bermula 1 Februari lalu.

"Dalam insiden tangkapan sebelum ini, memang ada orang awam yang memberi makan (kepada tahanan ditemui lapar) dan terus menghubungi pihak polis.

"Itu tindakan bijak oleh orang ramai sehinggalah berjaya menangkap suspek," katanya.

Pada 1 Februari lalu, seramai 131 PATI terdiri dari etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh melarikan dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam kejadian pada 9.50 malam.

Berita Harian X