Rabu, 7 Februari 2024 | 2:40pm
Foto hiasan
Foto hiasan

2 lelaki didenda RM9,000 curi lembu

JEMPOL: Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM9,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 12 lembu dari kebun kelapa sawit di FELDA Pasoh 3 pada 27 Januari lalu.

Tengku Adam Azizi Tengku Ismail, 44, dan Mohd Hairulhisam Md Noh, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati mencuri lembu milik orang lain pada jam 3.00 petang 27 Januari lalu.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, seorang pemilik lembu mendapati 12 lembu miliknya hilang sebelum mendapati lima lembu miliknya berada dalam sebuah kandang di belakang rumah milik seorang tertuduh.

Selain itu terdapat seorang saksi yang melihat perbuatan seorang tertuduh menyumpit 12 lembu sebelum kesemua lembu berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah lori.

Lima lembu di dalam kandang yang ditemui di belakang rumah seorang tertuduh dikenal pasti kepunyaan pemilik berdasarkan kesan lubang pada telinga lembu, seekor terlepas dari kandang dan enam lagi dijual kepada pembeli sehari selepas mencuri lembu berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik lembu mengalami kerugian sebanyak RM35,000.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tengku Adam Azizi dalam rayuannya memohon hukuman diringankan berikutan, dia bapa tunggal selain perlu menghantar ibunya menjalani rawatan di hospital setiap bulan.

Mohd Hairulhisam yang bekerja operator kilang pula dalam rayuannya, berkata perlu menyara keluarga, ibu bapa di kampung serta empat anak selain isterinya tidak bekerja serta menyesal melakukan perbuatan itu.

Di mahkamah sama, Tengku Adam Azizi turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh memindahkan harta curi iaitu enam lembu dengan menjualnya kepada seorang pembeli di mana dia ada sebab untuk mempercayai harta itu adalah harta curi.

Berikutan itu, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM4,000 dan sekiranya gagal bayar boleh dipenjara selama dua bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X