Selasa, 6 Februari 2024 | 3:28pm

Majlis pertunangan bertukar jadi kenduri arwah

KUALA NERUS: Mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Bukit Tumbuh, di sini, Ahmad Yusuf Din, 24, sepatutnya melangsungkan pertunangan pada Sabtu ini.

Bapa arwah, Din Ismail, 68, berkata semua persiapan majlis berkenaan di pihak keluarga perempuan di Kampung Paloh, Kuala Terengganu sudah diatur, namun kini terpaksa dibatalkan.

"Majlis (bertunang) terpaksa dibatalkan dan akan digantikan dengan majlis kenduri arwah," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari jeti nelayan kampung berkenaan, hari ini.

Jenazah anak ke-10 daripada 12 beradik itu disembahyangkan di masjid kampung berkenaan kira-kira 150 meter dari rumahnya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Kampung Bukit Tumbuh selepas solat Zuhur kira-kira jam 2 petang.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Din yang mengusahakan kilang menerap batik berkata, arwah anaknya dikatakan setiap malam bermain bot kawalan jauh di sungai berkenaan bersama rakan karibnya yang tinggal berjiran selepas menunaikan solat Isyak.

"Sudah ajal dia malam tadi sebab malam-malam sebelum ini pun dia pernah bermain bot (kawalan jauh) bersama rakan karibnya. Nak jadi asbab bot dia mengalami kerosakan dan hanyut jauh dari jeti menyebabkan dia (arwah) terpaksa berenang untuk mengambil not berkenaan.

"Arwah dikatakan sudah berjaya mencapai botnya tetapi pada masa sama dia mengalami kekejangan otot.

"Walaupun sedih dengan pemergiannya yang secara tiba-tiba, namun semua yang berlaku adalah ketentuan Allah.

"Sebelum ini arwah jarang ke kawasan sungai tetapi disebabkan hobi baharunya (bermain bot kawalan jauh) sejak tiga bulan lalu, arwah boleh dikatakan kerap ke kawasan sungai bersama rakannya," katanya yang juga ahli jemaah tabligh.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di Masjid Kampung Tok Ku, Chabang Tiga,Kuala Terengganu kerana mengikuti jemaah tabligh dari Jawa Tengah, Indonesia di masjid berkenaan sehingga esok.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan anak yang datang ke masjid jam 11 malam selepas gagal menghubungi saya menerusi telefon.

"Kebetulan telefon saya tertinggal dalam kereta dan segera pulang selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Alhamdulillah, syukur kerana mayat anak ditemukan dengan cepat. Kami sangat berterima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat serta lain-lain agensi penyelamat lain serta penduduk kerana bertungkus lumus mencari anak sehingga mayatnya ditemui," katanya.

Portal keluaran NSTP melaporkan, keseronokan dua sahabat bermain bot kawalan jauh di Sungai Terengganu dekat Kampung Bukit Tumbuh, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka di temui lemas, jam 12.56 tengah malam tadi.

Mangsa dipercayai lemas selepas mengalami kekejangan otot ketika berenang untuk mengambil bot kawalan jauh miliknya yang mengalami kerosakan.

Rakan arwah, Muhammad Danial Hafriz Abdul Halim, 26, yang melihat kejadian cuba berenang untuk menyelamatkan arwah namun gagal dan hampir lemas sebelum berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Din (tiga kanan) mengusung keranda jenazah anaknya, Ahmad Yusuf untuk disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Tumbuh sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan. - NSTP/Zaid Salim
Din (tiga kanan) mengusung keranda jenazah anaknya, Ahmad Yusuf untuk disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Tumbuh sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan. - NSTP/Zaid Salim
Berita Harian X