Isnin, 5 Februari 2024 | 5:56pm

Dua beradik maut motosikal dinaiki terbabas rempuh pokok

PETALING JAYA: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka, terbabas dan melanggar sebatang pokok di Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, remaja lelaki berusia 16 tahun yang menunggang bersama adik perempuan berusia 13 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata laporan kejadian diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 7.50 malam.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari rumah di Damansara Damai menghala ke Desa Jaya.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba motosikal dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor M Sivam@Siva di talian 017-3290749 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya tidak membenarkan anak membawa kenderaan tanpa lesen kerana ia satu kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala penjaga boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 26(1)B akta sama dengan keduanya membawa hukuman denda sehingga RM1,000.

Berita Harian X