Isnin, 5 Februari 2024 | 10:11am
Pendatang asing tanpa izin yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor ditahan semula di Kampung Senta. - Foto BERNAMA
Pendatang asing tanpa izin yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor ditahan semula di Kampung Senta. - Foto BERNAMA

Seorang lagi tahanan lolos di Bidor maut kemalangan

TAPAH: Seorang lagi tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 332.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata polis menerima laporan kejadian terbabit daripada orang awam kira-kira jam 9.20 malam.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan seorang pejalan kaki.

"Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Pegawai Jabatan Imigresen ke hospital berkenaan dan mengesahkan mangsa seorang tahanan yang lolos dari depot pada Khamis malam lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 131 tahanan melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor pada Khamis lalu dan seorang maut di lebuh raya sama pada malam berkenaan.

Mohd Yusri berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian malam tadi diminta membantu polis.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095.

Berita Harian X