Sabtu, 3 Februari 2024 | 12:20am
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh (tengah) pada sidang media petang tadi. NSTP/Aswadi Alias
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh (tengah) pada sidang media petang tadi. NSTP/Aswadi Alias

Baki 100 tahanan wanita dari Depoh Imigresen Bidor dipindahkan malam ini - Ruslin

TAPAH: Jabatan Imigresen Malaysia memindahkan baki 100 tahanan wanita yang masih berada di Depoh Tahanan Sementaranya di Bidor malam ini ke beberapa lokasi lain bagi mengosongkan premis itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata tahanan wanita terbabit ditempatkan antaranya di Depot Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Pahang.

Beliau berkata, depoh di Bidor dikosongkan sementara sehingga siasatan kes tahanan merusuh dan lolos selesai.

Ruslin berkata, radius pencarian tahanan yang masih lolos telah diperluas kepada lima kilometer dari depoh itu.

"Kita juga yakin tahanan masih berada tidak jauh dari kawasan depoh, pergerakan mereka juga terbatas dan apabila masuk hari kedua, mereka akan mula berasa lapar, kita harap operasi esok akan lebih mudah," katanya.

Malam tadi, sejumlah 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terbabit nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.– BERNAMA

Berita Harian X