Jumaat, 2 Februari 2024 | 8:44pm
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh pada sidang media hari ini. -NSTP/Aswadi Alia
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh pada sidang media hari ini. -NSTP/Aswadi Alia

Enam daripada 130 tahanan lari, ditahan

PUTRAJAYA: Enam daripada 130 pendatang tanpa izin di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak yang melarikan diri malam tadi, berjaya ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata setakat 4 petang ini, empat tahanan ditahan oleh pihak berkuasa dan sedang menjalani proses verifikasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kita teruskan usaha dengan kerjasama semua agensi keselamatan antaranya polis dan pasukan gerakan am untuk mengesan saki-baki tahanan dengan kekuatan 387 anggota," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Penahanan dua lagi disahkan oleh Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Malam tadi, seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depoh itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Ruslin berkata, pengoperasian Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor kini ditutup sementara bagi membolehkan operasi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dilaksanakan sepenuhnya.

Selepas insiden itu berlaku, masih terdapat 435 pendatang tanpa izin di depoh berkenaan.

Jabatan Imigresen kemudian memindahkan mereka ke enam depot tahanan antaranya Machap di Melaka, Lenggeng di Negeri Sembilan, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap di Perak.

"Depoh di Bidor menempatkan 556 tahanan dan daripada jumlah itu, seramai 297 tahanan ialah etnik Rohingya.

"Tahanan lain tidak melarikan diri, mereka kekal berada di depoh... dan kita memindahkan semua baki tahanan ke enam depoh imigresen kekal di tempat lain," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X