Jumaat, 2 Februari 2024 | 5:28pm

4 tahanan ditahan semula, baki giat diburu

PUTRAJAYA: Empat daripada 130 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Bidor, Perak malam tadi, berjaya ditahan hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata keempat-empat tahanan itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi.

"Sehingga jam 4 petang tadi, polis sudah menahan empat orang dan mereka akan dibawa ke depoh untuk dokumentasi dan sebagainya.

"Kita masih belum dapat kenal pasti empat individu yang sudah ditahan ini kerana mereka baru sahaja ditahan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pasukan Polis Unit Udara Bukit Aman meninjau dari udara untuk mengesan 131 tahanan warga Myanmar yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Bidor, malam tadi. NSTP/L Manimaran
Pasukan Polis Unit Udara Bukit Aman meninjau dari udara untuk mengesan 131 tahanan warga Myanmar yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Bidor, malam tadi. NSTP/L Manimaran

Ruslin berkata, dalam kejadian itu, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di depoh terbabit cedera ringan.

Katanya, ketika rusuhan berlaku, selain merempuh pintu sel dan pagar, tahanan terbabit membaling batu ke arah petugas.

"Buat masa ini, usaha mengesan baki tahanan yang masih bebas sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pihak berkuasa masih mencari tahanan yang melarikan diri dan kita percaya mereka bersembunyi di sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan seramai 131 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari depoh berkenaan, terdiri daripada 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warga Myanmar.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, yang memaklumkan maklumat pertama berhubung kejadian diperoleh melalui panggilan yang diterima mengenai kejadian di blok lelaki, di sini malam tadi.

Seorang tahanan yang melarikan diri turut maut selepas terbabit kemalangan jalan raya dan meninggal dunia di KM335 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara).

Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui bantuan pegawai dan anggota PGA Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman.

Susulan kejadian jam 9.50 malam itu, Op Tutup dijalankan membabitkan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan bagi menjejaki semua mereka mereka yang lolos.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 223 dibaca bersama Seksyen 224 KK, dengan usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan.

Empat daripada 130 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Bidor, perak malam tadi, berjaya ditahan hari ini.
Empat daripada 130 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Bidor, perak malam tadi, berjaya ditahan hari ini.
Berita Harian X