Jumaat, 2 Februari 2024 | 8:12am

Ketukan jiran selamatkan nyawa lapan beranak

KOTA KINABALU: "Nasib baik jiran ketuk pintu. Jika tidak mungkin saya, suami dan enam anak termasuk berusia setahun yang sedang tidur terperangkap," kata Hernah Hassan, 43, seorang daripada mangsa kebakaran rumah setinggan atas air di Kampung Sembulan Tengah, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, empat rumah termasuk tiga rumah kongsi musnah terbakar, namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Hernah berkata, dia bersama suami serta enam anaknya berusia setahun hingga 16 tahun sedang tidur di rumah ketika kebakaran berlaku.

"Masa itu kami semua sedang tidur, tiba-tiba pintu diketuk oleh jiran dan mengarahkan kami sekeluarga keluar kerana rumah sebelah sedang terbakar.

"Tanpa berlengah, saya mendakap anak bongsu berusia setahun manakala suami meminta anak yang lain segera keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, api marak dengan begitu cepat tanpa sempat menyelamatkan harta benda.

"Tiada apa yang dapat diselamatkan, hanya pakaian yang saya pakai sahaja yang tinggal. Semuanya musnah.

"Saya terpaksa menumpang di rumah jiran buat sementara waktu," katanya sedih.

Sementara itu, pegawai operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.05 pagi.

Katanya, seramai 45 pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan empat rumah termasuk tiga rumah kongsi yang mempunyai 30 pintu musnah dan operasi pemadaman menggunakan empat aliran daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

"Sebuah Toyota Hilux terbakar 10 peratus manakala Perodua Alza terbakar lima peratus," katanya.

Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dan menyelamatkan puluhan rumah daripada terbakar..

"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pasukan bomba memadamkan bara api dan menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang membabitkan beberapa rumah setinggan di perkampungan atas air di Kampung Sembulan Tengah, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Pasukan bomba memadamkan bara api dan menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang membabitkan beberapa rumah setinggan di perkampungan atas air di Kampung Sembulan Tengah, awal pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Berita Harian X