Khamis, 1 Februari 2024 | 4:26pm
Anggota bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di kawasan hutan di Kuala Penyu, Beaufort. - Foto Bomba
Anggota bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di kawasan hutan di Kuala Penyu, Beaufort. - Foto Bomba

2 hari padam kebakaran hutan lebih 600 hektar di Beaufort

BEAUFORT: Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu mengambil masa 12 jam bagi memadam kebakaran hutan seluas 602 hektar di kawasan daerah ini dan Kuala Penyu, hari ini.

Berikutan angin kuat, keadaan hutan yang kering dan kawasan tanah gambut, kebakaran sejak jam 2.16 petang semalam merebak ke beberapa kawasan kampung iaitu Kampung Purun Ulu, Nukahan dan Melawaring.

Ketua BBP Kuala Penyu Penolong Penguasa Bomba, Nelson Ponji berkata, operasi memadam kebakaran dijalankan dengan mengambil masa selama dua hari berturut-turut oleh lima pegawai dari BBP Kuala Penyu yang diketuainya sendiri.

Katanya, operasi turut dibantu lima lagi pegawai masing-masing dari Unit Drone serta BBP Kimanis dan BBP Beaufort.

"Kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas 602 hektar itu dipercayai bermula jam 2 petang di tiga kampung iaitu Kampung Purun Ulu, Nukahan dan Melawaring.

"Pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama kira-kira 12 jam bagi memadamkan kebakaran berikutan keadaan api yang terlalu cepat merebak disebabkan angin kuat.

"Kebakaran juga sukar dikawal berikutan keadaan hutan yang kering serta kawasan tanah gambut, tetapi usaha gigih semua pegawai berjaya mengawal dan memadam api daripada merebak ke kawasan lebih luas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi memadam pada hari pertama di lokasi sejauh 20 kilometer dari jarak balai itu dilaksanakan menggunakan satu aliran 200 kaki, dua pancutan.

Katanya, kerja memadam menggunakan sumber air terbuka yang diperoleh dari tali air dengan dibantu floating pump dan pemerap api sehingga berjaya mengawal 40 peratus kebakaran membabitkan 240.79 hektar daripada keluasan keseluruhan hutan berkenaan.

"Operasi hari kedua diteruskan menggunakan kaedah sama sebelum berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dan menamatkan operasi pada jam 1.15 petang.

"Tiada kecederaan serta kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian ini," katanya.

Terdahulu, pasukan bomba turut mendapatkan bantuan Unit Drone bagi membuat tinjauan di kawasan sekitar kebakaran selain usaha mencari laluan masuk ke lokasi kebakaran bagi membolehkan operasi memadam kebakaran dijalankan.

Berita Harian X