Khamis, 1 Februari 2024 | 11:00am
Foto fail AFP
Foto fail AFP

Warga emas rugi RM115,000 terperdaya pelaburan bitcoin

SEREMBAN: Seorang warga emas kerugian RM115,000 apabila wang simpanannya lesap akibat terperdaya dengan pelaburan bitcoin menerusi platform Accerx yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenda Aidi Sham Mohamed, berkata suri rumah berusia awal 60-an itu tertarik dengan pelaburan melalui Accerx selepas melihat iklan di Facebook dan telah berurusan dengan individu melalui aplikasi WhatsApp pada pertengahan Disember tahun lepas.

"Wanita itu membuat enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian kepada lima akaun berbeza sejak 19 Disember 2023 hingga 12 Januari lepas, keseluruhan berjumlah RM115, 000 bagi tujuan modal pelaburan menggunakan wang simpanannya.

"Mangsa mendapati pulangan pelaburan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Accerx miliknya, namun ia gagal dikeluarkan kerana masih perlu membuat pembayaran tambahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang menyedari telah diperdaya, membuat laporan polis pada 26 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

Berita Harian X