Rabu, 31 Januari 2024 | 2:09pm
Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad, Mazlan Hashim, 65, (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pemindahan wang daripada aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad, Mazlan Hashim, 65, (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pemindahan wang daripada aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Bekas pengerusi koperasi didakwa rasuah, pindah wang hasil aktiviti haram

ALOR SETAR: Bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Darulaman Kedah Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan berkaitan rasuah dan pemindahan wang hasil aktiviti haram bernilai ratusan ribu ringgit pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mazlan Hashim, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan 10 peratus daripada nilai projek berjumlah RM9.7 juta dari pengarah sebuah syarikat.

Wang rasuah RM970,000 itu diminta dipercayai sebagai dorongan membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender cadangan merekabentuk, membekal, membina, menguji terima dan mentauliah 1MWp Solar Farm & Green House yang beroperasi di Mukim Padang Kerbau, Pendang dari Myangkasa Services Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Pusat Perniagaan Sosenati dekat sini, pada November 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan RM274,608 daripada pengarah syarikat sama melalui akaun Affin Islamic Bank milik koperasi itu, sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Januari 2017 di Affin Islamic Bank Berhad, Alor Setar.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM265,000 dari akaun koperasi berkenaan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan Maziah Mohaidee, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zaharudeen Harun.

Selepas tertuduh membuat pengakuan itu, Farah Ezlin memaklumkan tertuduh turut berhadapan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah kemudian memaklumkan Mahkamah Sesyen Shah Alam sudah menetapkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bersama seorang penjamin warga Malaysia selain perlu menyerahkan pasport dan dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada hari pertama bekerja setiap bulan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin dan syarat sama digunakan dalam pertuduhan hari ini, dan kesemua kes berkaitan tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu selepas tidak mendapat bantahan peguam tertuduh.

Berita Harian X