Selasa, 30 Januari 2024 | 10:38am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Mayat wanita mangsa bunuh ditemui di tangga pangsapuri

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga asing ditemui di tangga sebuah pangsapuri di Desa Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya, pagi semalam dengan kesan kecederaan pada leher, dada dan tangan.

Mangsa dipercayai berusia 19 tahun ditemui orang awam sekitar jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa dipercayai dibunuh dengan objek tajam dan ditemui dengan kesan kecederaan pada leher, dada dan kedua belah tangan.

"Kejadian ini pada mulanya dilaporkan seorang lelaki tempatan yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di lantai kawasan tangga.

"Setakat ini kita percaya mangsa dibunuh antara jam 6 pagi hingga 6.30 pagi," katanya kepada BH.

Mohd Fakhrudin berkata, pihak Unit Forensik Polis Kontinjen Selangor bersama Pasukan Perubatan Hospital Sungai Buloh dan pasukan Unit Patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini dan setakat ini pihak polis bagaimanapun masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada mana-mana waris mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Sharol Johari di talian 012-4937137 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X