Isnin, 29 Januari 2024 | 3:53pm
Sammy (tengah) menunjukkan tiga motosikal yang berjaya dirampas semula susulan penahanan tiga suspek Jumaat lalu. - NST{/ JUWAN RIDUAN
Sammy (tengah) menunjukkan tiga motosikal yang berjaya dirampas semula susulan penahanan tiga suspek Jumaat lalu. - NST{/ JUWAN RIDUAN

3 anggota 'Geng Jun Jun' dalang 5 kes curi motosikal tumpas

PENAMPANG: Polis menumpaskan 'Geng Jun Jun' yang mendalangi kegiatan curi motosikal sekitar Putatan, dekat sini, dengan penahanan tiga lelaki di sebuah rumah di Taman Ketiau, Jalan Tembovo, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dengan hasil tangkapan tiga suspek berusia antara 19 hingga 23 tahun itu, polis merampas semula tiga motosikal yang disyaki dicuri di sekitar daerah ini, dengan anggaran nilai rampasan RM30,000.

"Usaha mengesan baki motosikal curi giat dijalankan oleh pasukan polis.

"Secara keseluruhan, dengan tertangkapnya tiga suspek yang dipercayai aktif sejak tahun lalu itu, polis menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes curi motosikal di sekitar daerah ini.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua mereka positif dadah, dengan seorang daripadanya suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Dalam kes berasingan, Sammy berkata empat lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan antara 16 hingga 23 Januari lalu, susulan kes curi kabel di daerah ini.

"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa gulung kabel jenis tembaga, batang kabel, peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel," katanya mengesahkan nilai kerugian melalui tiga kes ini berjumlah RM95,000.

Berita Harian X