Isnin, 29 Januari 2024 | 3:52pm
Tiga maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Besar Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, pagi tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Tiga maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Besar Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, pagi tadi. NSTP/Ihsan Bomba

'Resah mesej tak berbalas' - Ibu

KOTA TINGGI: "Saya resah apabila arwah tidak balas mesej. Tidak lama kemudian saya menerima berita anak sudah menemui ajal," kata Norzihan Mohamad.

Norzihan, 50, ibu kepada Amirul Asyraf Zulkifli, 29, yang maut dalam kemalangan yang mengorbankan dua lagi nyawa membabitkan Perodua Myvi dan Proton Gen2 di Jalan Besar Felda Air Tawar 1, dekat sini, hari ini.

Katanya, anaknya bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman tema air di Desaru dan berulang-alik menaiki kereta bersama rakannya, Muhammad Amirul Faiz Azmi, 22, yang turut maut dalam kemalangan itu.

"Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, saya tergerak hati untuk mesej dia dan bertanya sama ada kerja atau tidak kerana mahu minta tolong darinya untuk lihat kereta ayahnya.

"Dia sempat membalas mesej saya dengan mengatakan dia tidak kerja dan boleh bantu sebelum mesej seterusnya dari saya tidak berbalas.

"Tidak lama kemudian menantu menghubungi saya dan memaklumkan yang anak saya maut dalam kemalangan," katanya.

Norzihan berkata, selepas berumah tangga, Amirul Asyraf menetap di Taman Pasak Indah bersama keluarga mentua.

"Sabtu lalu dia ada datang ke rumah dan saya nampak dia kurang selera makan berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, Amirul memiliki dua anak berusia tiga dan empat tahun.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Haikal Waqiuddin Zainal, 24, berkata setiap hari dia menaiki kenderaan yang sama dengan Muhammad Amirul Faiz dan Amirul Asyraf untuk ke tempat kerja.

"Cuma hari ini (semalam) tidak bersama mereka kerana saya masuk kerja lambat sikit. Mereka masuk kerja jam 7 pagi, sedangkan saya pula masuk kerja jam 9 pagi.

"Memang tidak sangka, sebaik menerima berita kemalangan saya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat kedua-dua sahabat saya sudah tiada.

"Saya sangat sedih dan terkilan kerana kehilangan dua rakan baik serentak," katanya.

Kemalangan itu juga meragut nyawa pemandu Proton Gen2, Noor Azman Abdul Rahman, 46, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shawaluddin Ami Nordin, berkata sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 6.49 pagi.

Katanya, kenderaan Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dewasa dan seorang daripadanya tersepit akibat kemalangan itu.

"Sebuah lagi kenderaan dinaiki seorang mangsa yang turut tersepit akibat kemalangan.

"Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Berita Harian X