Isnin, 29 Januari 2024 | 2:50pm
Warga Thailand dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku salah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjual kerepek. NSTP/Alias Abd Rani
Warga Thailand dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku salah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjual kerepek. NSTP/Alias Abd Rani

3 warga Thailand mengaku jual kerepek guna pas lawatan sosial

BATU PAHAT: Tiga wanita warga Thailand didenda RM1,000 seorang selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjual kerepek di bandar ini, minggu lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Sadiyoh Chesoh, 60; Masuenah Yumae, 48; dan Nimah Naema, 66, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai penjual kerepek di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan CIMB Bank masing-masing di Jalan Rahmat serta Maybank di Bukit Pasir, di sini pada jam 8.30 malam, 22 Januari ini.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dengan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 8 malam, 22 Januari lalu, polis menjalankan pemeriksaan terhadap kesemua tertuduh dan mendapati mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan perniagaan itu.

Susulan itu, kesemua tertuduh dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda minimum kerana perlu menanggung keluarga di negaranya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas ketiga-tiga tertuduh dan mengarahkan mereka dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Berita Harian X