Isnin, 29 Januari 2024 | 2:02pm
Tertuduh Abdul Razak Osman nafi fitnah TYT, Mufti Melaka dan Pengerusi Melaka Sentral Sdn BHD, menerusi satu video di TikTok, dua tahun lalu. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh Abdul Razak Osman nafi fitnah TYT, Mufti Melaka dan Pengerusi Melaka Sentral Sdn BHD, menerusi satu video di TikTok, dua tahun lalu. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

Lelaki didakwa fitnah TYT dan Mufti Melaka

MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memfitnah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mufti Melaka dan Pengerusi Melaka Sentral Sdn Bhd menerusi rakaman video TikTok, dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Razak Osman, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melalui satu rakaman video TikTok didakwa membuat satu penyataan memfitnah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mufti Melaka dan juga Pengerusi Melaka Sentral Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @othmanahamidjunior dalam satu kumpulan WhatsApp pada 21 November 2022, kira-kira 3.30 petang yang kemudiannya ditonton di alamat di Jalan SD 2/2 1, Taman Seri Duyong 2.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian yang melakukan pendakwaan, menawarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah membenarkan jaminan RM3,500 dan menetapkan kes disebut semula pada 14 Februari ini.

Berita Harian X