Ahad, 28 Januari 2024 | 5:57pm
Foto JBPM
Foto JBPM

Pelancong Korea Selatan tersangkut di pokok ketika paragliding

KOTA KINABALU: Seorang pelancong Korea Selatan tersangkut di atas pokok ketika melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, lelaki dikenali sebagai Cha Woo Sung berusia 50-an itu tersangkut pada ketinggian antara 40 hingga 50 meter sebelum berjaya dibawa turun oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.51 petang.

Katanya, seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 19 kilometer dari BBP Lintas.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melakukan luncur udara dan tersangkut pada pokok setinggi 50 meter.

"Setibanya di lokasi mangsa, pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan menggunakan sistem lowering untuk menurunkan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membawa turun mangsa dengan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang.

Berita Harian X