Ahad, 28 Januari 2024 | 2:52pm

Tukang rumah didakwa tampar, sepak isteri kerana wang hantaran

MUAR: Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya gara-gara berang terhadap wanita itu yang tidak berbincang dengannya mengenai hantaran perkahwinan anak perempuannya, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Haidi Omar, 51, yang berhadapan dua tuduhan menampar dan menyepak isterinya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 47 tahun menggunakan kaki.

manakala tuduhan kedua pula, dia sekali lagi didakwa mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan terhadap isterinya di sebuah rumah di Jalan Pantai, dalam daerah ini, pada jam 9 pagi antara 21 hingga 22 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan bagi kesalahan mengikut seksyen yang relevan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 serta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa manakala pihak pembelaan memohon mahkamah mengenakan jaminan paling minimum dengan mengambil kira kedudukan kewangan tertuduh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan, tidak boleh berhubung, mengganggu mangsa sehingga kes ini selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes itu pada 19 Februari ini.

Abdul Haidi didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan menyepak dan tampar isteri kerana berang isteritidak berbincang dengannya mengenai wang hantaran perkahwinan anak perempuannya. - Foto Alias Abd Rani
Abdul Haidi didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan menyepak dan tampar isteri kerana berang isteritidak berbincang dengannya mengenai wang hantaran perkahwinan anak perempuannya. - Foto Alias Abd Rani
Berita Harian X