Jumaat, 26 Januari 2024 | 3:57pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Suri rumah rugi RM4 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

KUALA LUMPUR: Suri rumah warga emas mengalami kerugian RM4 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga 380 peratus daripada jumlah pelaburan asal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan mendapati wanita berusia 67 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan ketika melayari laman sosial beberapa bulan lalu dan kemudiannya menekan pautan diberikan.

"Mangsa seterusnya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan dan diberikan kelas, panduan dan nota berkaitan pelaburan ditawarkan," katanya dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Terperdaya dengan taktik yang digunakan, mangsa telah membuat transaksi wang kepada 11 akaun syarikat yang diarahkan dan sehingga kini tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis semalam, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Ramli berkata JSJK menerima 5,389 kes penipuan pelaburan sepanjang tahun lepas melibatkan nilai kerugian mencecah RM472 juta.

"Sebanyak 4,170 operasi telah dilaksanakan khusus untuk menumpaskan sindiket pelaburan dan daripada operasi itu, 3,409 individu ditahan dalam tempoh sama," katanya.

Beliau berkata penipuan pelaburan merupakan antara kategori kes yang sentiasa mencatatkan nilai kerugian tertinggi dan trend sama turut direkodkan bagi tempoh 1 hingga 15 Jan lepas apabila nilai kerugian dicatatkan mencecah RM44 juta.

"Berdasarkan rekod 2023, sebanyak 744 individu atau mangsa penipuan pelaburan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"Justeru, diingatkan kepada mereka yang berada dalam lingkungan usia ini (60 tahun ke atas) untuk lebih berwaspada semasa menggunakan media sosial," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X