Khamis, 25 Januari 2024 | 11:46am

Imigresen tahan 125 PATI sekitar Johor

KULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 85 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi terhadap sebuah kilang dekat Senai di sini kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Dalam Ops Mahir yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi semalam, seramai 328 orang warga asing dan tempatan telah diperiksa.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir, berkata tindakan diambil pihaknya susulan maklumat awam berhubung PATI yang disyaki bekerja tanpa pas atau permit di kilang komponen yang terletak di lokasi sekitar Senai itu.

"Dalam operasi itu, kita menahan 69 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga India, empat lelaki warga Sri Lanka serta dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 47 tahun dan turut ditahan seorang wanita warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai melindungi warga asing terbabit," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Manakala, katanya, wanita warga tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

"Sebanyak dua notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu yang terbabit dalam operasi itu bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan sejurus operasi terbabit, Baharuddin berkata, pihaknya menahan 40 lagi warga asing di sekitar Senai di sini, atas kesalahan sama selepas dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia.

Menurut beliau, tangkapan itu dibuat dalam pelbagai operasi iaitu Ops Selera, Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di premis-premis sekitar lokasi panas kira-kira jam 3.50 petang.

"Tindakan ini turut diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah di lokasi panas itu.

"Dalam beberapa operasi ini, seramai 110 warga asing serta tempatan diperiksa sebelum 40 warga asing ditahan.

"Mereka yang ditahan adalah sembilan lelaki dan 10 wanita warga Indonesia, dua lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, enam lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga India dan semuanya berusia antara 19 hingga 57 tahun," katanya.

Baharuddin berkata, mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan seperti gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Kita turut menahan seorang wanita warga Myanmar di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memberi kebenaran kepada PATI untuk berada di dalam premis. Sebanyak lima notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan," katanya.

Pada masa sama, Baharuddin menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI di negeri ini.

"Kita akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di seluruh negeri, terutamanya lokasi panas bagi membanteras isu kebanjiran PATI yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah," katanya.

Sebahagian daripada pekerja asing yang diperiksa oleh Imigresen Johor dalam serbuan terhadap sebuah kilang dekat Senai semalam.
Sebahagian daripada pekerja asing yang diperiksa oleh Imigresen Johor dalam serbuan terhadap sebuah kilang dekat Senai semalam.
Berita Harian X