Rabu, 24 Januari 2024 | 11:12am
Norela (tengah) bersama sebahagian daging babi sejuk beku yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Utara dan sebua gudang di Semenyih, baru-baru ini. - Foto NSTP/Ihsan JKDM
Norela (tengah) bersama sebahagian daging babi sejuk beku yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Utara dan sebua gudang di Semenyih, baru-baru ini. - Foto NSTP/Ihsan JKDM

Kastam rampas daging babi sejuk beku RM2.3 juta cuba diseludup ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 141,500 kilogram (kg) daging babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM2.3 juta yang cuba diseludup ke negara ini dalam dua serbuan berasingan di Lembah Klang, pada 27 Disember dan 17 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail, berkata serbuan pertama pada 27 Disember lalu dilakukan di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor membabitkan dua kontena dari negara jiran.

"Pemeriksaan menemukan sejumlah muatan makanan sejuk beku yang disyaki keratan daging babi beku tidak berkastam seberat 56,000 kg dianggarkan bernilai RM840,000.

"Pemeriksaan dilakukan bersama wakil agen pengimport menemui dagangan keratan babi sejuk beku berjenama 'Palmali' yang disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki lesen import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan

Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Borang Kastam 1," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada 17 Disember lalu pula, katanya dijalankan di sebuah gudang di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor dan menemukan tiga kontena bersaiz 40 kaki.

"Pemeriksaan pada tiga kontena sejuk (reefer container) bersama dua pekerja lelaki warga Myanmar menemukan sejumlah dagangan disyaki daging babi sejuk beku berjenama Palmali seberat 85,500 kg dan anggaran nilaiRM1.54 juta.

"Dalam kes ini, sindiket juga cuba mengelak memiliki permit import yang sah dengan menyalahgunakan kemudahan 'pemindahan barang dalam transit' melalui mod darat kerana membawa dagangan itu ke destinasi lain, tidak seperti yang dinyatakan dalam Borang Kastam 8.

"Sehubungan itu, seorang lelaki warga tempatan berperanan sebagai agen penghantaran serta dua pekerja gudang warga Myanmar ditahan dan direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kes berasingan pada 15 Januari lalu, Norlela berkata JKDM menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku yang disyaki keratan daging lembu menggunakan satu kontena rentas sempadan dari negara jiran di Pelabuhan Barat, Klang.

"Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah muatan makanan sejuk beku yang disyaki keratan daging lembu tidak berkastam seberat 24,300 kg dianggarkan bernilai RM270,000.

"Pemeriksaan yang dilakukan bersama wakil agen pengimport menemui dagangan keratan daging sejuk beku berjenama 'Fridosa' yang disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki lesen import dari MAQIS dan Borang Kastam yang tepat.

"Selain itu, label loji penyembelihan yang dipamer pada bungkusan tersebut adalah tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.

Menurut Norlela dalam ketiga-tiga kes ini, siasatan mendapati modus operandi utama sindiket adalah membuat pengikraran yang mengelirukan iaitu 'Frozen Foodstuff' (barang makanan sejuk beku) pada borang kastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Dagangan yang diikrar adalah tidak sama seperti dagangan sebenar dan sindiket juga cuba mengelak dari dikesan kerana tidak memiliki permit import yang sah yang diluluskan oleh Ketua Pengarah MAQIS.

"Pengimportan komoditi sejuk beku adalah tertakhluk kepada Butiran 1(1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Selain itu, label loji penyembelihan yang dipamer pada bungkusan terbabit adalah tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ketiga-tiga kes kini sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Berita Harian X