Isnin, 22 Januari 2024 | 8:58pm
Anggota BBP Sik memadam api pada sebuah kereta yang marak terbakar di tepi jalan Kampung Lubuk Tualang, Sik, petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA
Anggota BBP Sik memadam api pada sebuah kereta yang marak terbakar di tepi jalan Kampung Lubuk Tualang, Sik, petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA

Kereta dinaiki musnah terbakar, dua wanita terselamat

SIK: Dua wanita terselamat apabila sempat keluar daripada kereta yang terbakar di tepi jalan Kampung Lubuk Tualang, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila wanita berusia 40-an yang memandu kereta bersama rakannya terhidu bau hangit dalam kenderaan yang dinaiki.

Katanya, mereka nekad keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri dan bernasib baik kerana secara tiba-tiba kereta terbakar dan api marak dengan cepat.

"Kedua-dua wanita itu tidak cedera dan pasukan bomba tiba di lokasi dengan cepat untuk memadam api yang mengambil masa kira-kira 10 minit," katanya ketika dihubungi.

Zulkhairi berkata, terdahulu, sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syahril Salleh bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 6.45 petang tadi.

Beliau berkata, punca serta kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X