Isnin, 22 Januari 2024 | 1:23pm
Timbalan Pendakwa Raya KPDN diketuai Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi di luar mahkamah selepas prosiding pertuduhan dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd membabitkan 51 pertuduhan ditangguhkan kepada 13 Februari depan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Pendakwa Raya KPDN diketuai Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi di luar mahkamah selepas prosiding pertuduhan dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd membabitkan 51 pertuduhan ditangguhkan kepada 13 Februari depan. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Suami isteri didakwa tipu pakej umrah tak hadir ke mahkamah

KOTA BHARU: Prosiding pendakwaan dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd membabitkan 51 pertuduhan berkaitan kes penipuan pakej umrah berjumlah RM503,221 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini ditangguh ke 13 Februari depan.

Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri menetapkan tarikh berkenaan selepas kedua-dua orang kena saman (OKS) iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya, Datin Mazuin Mustafa, 43, gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Peguam Ahmad Nizam Mohamed, yang OKS memaklumkan kedua-dua anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana cuti sakit.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi, memohon tarikh baharu dalam tempoh yang singkat.

"Kami baru dimaklumkan pagi ini OKS tidak hadir kerana cuti sakit. Disebabkan kes ini membabitkan kepentingan awam dan mangsa yang ramai, kita mohon tarikh baharu dalam tempoh singkat.

"Kedua-dua OKS sepatutnya berdepan 51 pertuduhan hari ini membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit. Malah baru-baru ini mereka didakwa atas 63 pertuduhan bagi kesalahan yang sama di Putrajaya," katanya.

Mahkamah menetapkan 13 Februari sebagai tarikh baharu dan semua pertuduhan akan dijalankan serentak.

Sebelum ini, pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM589,031 kepada 21 mangsa.

Berita Harian X